Selamat Tinggal Jeragat

SOALAN

Assalamualaikum Dr Syid.
Saya seorang wanita berusia 29 tahun. Saya berkulit cerah dan mempunyai masalah bintik-bintik hitam (freckles) pada kulit muka saya sekitar hidung dan pipi. Memang dalam ahli keluarga saya mempunyai masalah ini, yang paling jelas ialah pada ibu saya. Adakah ini masalah keturunan? Saya sudah menggunakan krim sunblock namun masalah kulit saya ini semakin menjadi-jadi. Saya pohon pandangan doktor bagaimana untuk mencegah masalah jeragat. Kalau boleh tolong doktor jelaskna apakah sebenarnya jenis dan punca pigmentasi kulit dan bagaimana untuk mengatasinya. Harpa Doktor sudi jelaskan. Terima kasih.


JAWAPAN
Kulit manusia secara amnya mempunyai warna yang sekata untuk seluruh badan. Warna kulit manusia dikawal oleh pigmen melanin yang dihasilkakn oleh sel kulit. Bintik-bintik hitam atau freckles yang juga dikenali sebagai ephelides adalah gugusan melanin berkonsentrasi tinggi yang tertumpu di permukaan kulit yang jelas kelihatan terutamanya bagi yang berkulit cerah. Bagi sesetengah individu, bintik-bintik ini juga dipengaruhi oleh faktor keturunan. Mereka ini memiliki gen MC1R (melanocortin-1 receptor gene variant) yang akan memudahkan munculnya bintik-bintik hitam tersebut terutamanya apabila kulit terdedah kepada selaran UV-B dari cahaya matahari. Freckles selalu tertumpu di bahagian muka dan juga kulit yang terdedah kepada cahaya matahari. Individu yang mempunyai bintik-bintik hitam ini turut mempunyai tahap konsentrasi pelindung cahaya melanin yang lemah. Ini akan menyebabkan mereka lebih mudah terdedah kepada kesan negatif yang diakibatkan oleh pengaruh cahaya matahari seperti jeragat, kedutan, kanser kulit, dan sebagainya.

Punca dan jenis pigmentasi kulit yang lain:

  1. PIGMENTASI AKIBAT KESAN RADANG
    • Jenis pigmentasi ini tertumpu di bahagian klit yang berlakunya kecederaan atau proses inflamasi seperti jerawat yang selalu dipicit, luka, akibat lecuran, parut cacar air, dan pelbagai kecederaan tisu kulit yang lain. Pigmentasi berlaku akibat pengumpulan saki baki pigmen melanin yang tertinggal setelah proses pemulihan berlaku atau dari mendapan zat besi berpunca dari sel darah yang mati.
  2. REAKSI FOTOTOKSIK ATAU FOTO ALERGIK
    • Keadaan ini berlaku di bawah pengaruh sesetengah jenis bahan kimia seperti ubatan yang boleh menyebabkan sel kulit menjadi lebih sensitif terhadap cahaya matahari dan membentu pigmentasi. Antara jenis ubat yang dikenalpasti ialah seperti ubat antibiotik (minocycline, tetracycline), ubat penenang (chlorpromazine, phenothiazine), ubat diuretik (thiazides), ubat malaria (chloroquine), ubat kemoterapi (busulfan, bleomycin, cyclophosphomide, adiamycin), ubat jantung (amiodarone), dan ubat tahan sakit (NSAID). Apabila pesakit mengamalkan ubat di atas, mereka perlulah mengelakkan diri dari terdedah kepada sinaran matahari yang terik.
  3. JERAGAT
    • Jeragat berlaku akibat kombinasi beberapa faktornya, antaranya:

      PROSES PENUAAN.
    • Apabila usia bertambah, badan manusia kadangkala menghasilkan lebih banyak melanin yang berkumpul secara tompokan menjadi jeragat.

    • PENGARUH CAHAYA MATAHARI.
    • Pengaruh sinar ultra violet menyebabkan melanin bergumpal pada permukaan kulit dan menjadi jeragat.

    • PENYAKIT YANG BERKAITAN.
    • Beberapa penyakit telah dikenalpasti menyebabkan pigmentasi kulit antaranya seperti penyakit Addison, Sindrom Hay-Wells, Scleroderma, kencing manis, Sindrom Whyte-Murphy, dan banyak lagi.