Menghilangkan Parut di Wajah

SOALAN

Assalamualaikum Dr Syid.
Saya mengalami kemalangan jalanraya 5 minggu yang lepas. Serpihan kaca dari cermin kereta banyak terkena di kulit muka saya yang meninggalkan parut. Ada luka yang perlu dijahit dan ada juga bahagian kulit yang tergores kulitnya.
Masalah saya ialah parut-parut ini banyak mencacatkan paras rupa saya. Terutamanya bahagian yang tertanggal kulit tu kelihatan hitam seperti setompok jeragat besar. Dari sudut perubatan, apakah kaedah rawatan yang boleh membantu mengembalikan keadaan kulit saya seperti sediakala? Saya terpaksa memakai solekan yang tebal buat masa ini untuk menyembunyikan kesan parut dan tompok hitam tersebut. Terima kasih kerana sudi menjawab.


JAWAPAN
Waalaikumussalam. Ada banyak jenis parut yang sememangnya boleh menjejaskan paras kulit seseorang. Masalah yang saudari hadapi ialah parut pigmentasi iaitu parut yang berwarna lebih pekat dari kulit, sama ada warna perang, atau ke arah kehitaman.

Parut yang hitam ini berlaku akibat proses radang yang mengundang pengumpulan pigmen hitam di bawah kulit.Lapisan kolagen dan elastiin di bawah kulit juga boleh terjejas yang mana boleh menyebabkan parut itu berlubang ataupun timbul dan kelihatan lebih teruk. Parut selalunya berkekalan. Di sini saya akan berkongsi bagaimana untuk membuatkan parut itu kurang jelas kelihatan:

1. GUNAKAN KRIM PELINDUNG MATAHARI (SUNSCREEN)
Melindungkan parut dari sinaran matahari amat penting bagi mengelakkan parut menjadi kehitam-hitaman. Krim pelindung yang berkeupaaan sekurang-kurangnya SPF 30 yang mengandungi Zink dan Titatanium dioksida amat penting bagi melindungi dari sinaran UVA dan UVB. Disyorkan juga untuk melakukan urutan lembut di sekitar luka tersebut bagi melancarkan aliran darah untuk menggalakkan penyembuhan dan mengelakkan terbentuknya parut yang tebal dan ketara.

2. KRIM PENIPIS PARUT
Krim yang mengandungi Vitamin E dan ‘cocoa butter‘ boleh melembabkan parut dan mengelakkan parut daripada menjadi gatal. Kesan antioksidan Vitamin E juga boleh membantu.

3. LAPISAN GEL SILIKA
Letakkan lapisan gel silika yang boleh didapati secara mudah di farmasi pada parut setiap hari selama 3 bulan. Ia boleh membantu parut untuk tidak menebal dan kadangkala mampu membantu menjadikan parut itu kelihatan tidak ketara.

4. SEMBUNYIKAN PARUT DENGAN CONCEALER
Gunakan concealer yang kalis air dan bersepadanan dengan warna kulit anda untuk menyembunyikan parut buat sementara.

5. KRIM PELUNTUR (BLEACHING CREAM)
Krim ini boleh membantu untuk memutihkan sesetengah parut yang hitam.

6. SUNTIKAN ‘FILLERS
Suntikan ‘fillers‘ yang mengandungi kolagen ataupun lemak boleh meratakan kembali parut yang dalam. Namun kesan suntikan ini hanya sementara dan perlu diulang secara berkala.

7. SUNTIKAN STEROID
Suntikan steroid seprti ‘hydrocortisome‘ pada parut dapat meratakan parut yang tebal atau timbul atau yang dinamakan ‘keloid’. Sama seperti ‘fillers‘, ia perlu diulang secara berkala apabila perlu.

8. DERMABARASION
Teknik ini menggunakan peralatan khas yang membuang lapisan kulit yang paling atas. Ia dapat mengurangkan ketebalan parut. Microabrasion pula merupakan teknik yang kurang invasif untuk merawat parut yang kecil.

9. TEKNIK LASER
Teknik ini menggunakan laser bagi mengelupaskan kulit di bahagian atas untuk menipiskan parut. Laser juga boleh digunakan untuk merangsang lapisan kolagen di bahagian dermis tanpa mempengaruhi lapisan kulit teratas.

10. PEMBEDAHAN
Pembedahan estetik boleh dilakukan untuk mengubah saiz, kedalaman ataupun warna parut akan tetapi ia tidak boleh menghilangkan kesan parut secara total. Teknik ini tidak disyoekan kepada parut keloid kerana ia dapat membuatkan parut itu menjadi lebih teruk.