Impikan Kulit Wajah yang Berseri

SOALAN

Assalamualaikum Dr Syid.
Saya seorang wanita yang berusia 42-tahun. Walaupun sudah melangkau 40-an, raut wajah saya masih kelihatan menarik, akan tetapi warna kulitnya kusam dan bertompok-tompok hitam. Banyak teguran dari rakan-rakan menyuruh saya dapatkan rawatan laser akan tetapi kosnya agak mahal. Apakah tips atau kaedah untuk mengembalikan seri wajah saya ini? Bolehkah tompok dan warna kulit yang tidak sekata ini dikurangkan? Harap Doktor sudi berkongsi. Terima kasih.


JAWAPAN
Kulit kusam berlaku apabila timbunan sel mati berada di permukaan kulit. Jika timbunan tersebut dibiarkan berkumpul sekian lama akan menyebabkan warna kulit hilang seri dan nampak kusam. Masalah ini meningkat dengan usia yang mana faktor kerosakan kulit akibat sinar matahari, pencemaran persekitaran, pengambilan nutrisi/pemakanan yang tidak dijaga, merokok, meminum alkohol, dan faktor genetik juga memainkan peranan. Dari sudut perubatan kosmetik, terdapat dua kaedah utama untuk mengatasi masalah ini iaitu:


MIKRODERMABRASION

Lapisan kulit atas akan dibekukan sebelum mengguna mesin untuk mengikis bahagian permukaan kulit tersebut. Ia memerlukan beberapa kali rawatan ulangan. Komplikasinya jarang berlaku akan tetapi boleh menyebabkan pendarahan, terbentuknya parut jangkitan dan perubahan warna kulit yang tidak sekata.

LASER DERMABRASION

Ini kaedah yang lebih moden dan selamat. Laser C02 digunakan bagi pengikisan kulit yang lebih sekata dan tidak menyebabkan pendarahan. Di samping itu cahaya laser ini juga memanaskan kuit di bahagian bawah yang akan merangsang penghasilan lapisan kolagen yang baru. Ini akan menghasilkan kulit yang lebih halus dan anjal.

Kedua-dua kaedah dia atas boleh didapati dari klinik aestetik dan perlu dilakukan oleh doktor pakar kulit yang terlatih. Walaupun hasilnya agak memuaskan, namun kosnya juga agak tinggi. Bagi puan, saya boleh syorkan kaedah yang lebih mudah, murah, selamat, dan efektif untuk menghilangkan kekusaman dan noda hitam pada kulit wajah:


1. EKSFOLIASI
Kerak dan timbunan kulit mati di bahagian atas kulit perlu dilupuskan untuk menyerlahkan warna dan kulit hidup yang sebenar. Eksfoliasi ataupun pengelupasan perlu dilakukan secara berkala untuk tujuan ini. Puan boleh gunakan skrub muka yang lembut yang boleh didpati daripada farmasi. Puan juga boleh menggunakan pengelupasan semula jadi dengan menggunakan buahan yang mengandungi asid alfa hidroksil seperti buah betik, nenas, dan aprikot. Potong buat tersebut kepada hirisan yang kecil dan lumatkan sebelum eratakannya di muka. Biarkan 20 minit dan bilas. Lakukan 2 hari sekali.

2. MENGGUNAKAN PELEMBAB
Proses pengelupasan akan mengeringkan kulit. Seharusnya untuk mengelakkan kulit dari terus kering dan bersisik, gunakan pelembab setiap hari. Untuk mencapai kesan yang lebih baik, pastikan pelembab tersebut mempunyai bahan yang boleh merangsangkan penghasilan kolagen di bawah kulit seperti Vitamin C dan E> Jika muka serinf terdedah kepada cahaya matahari, pastikan pelembab itu mempunyai kesan pelindung SPF 20 sekurang-kurangnya.

3. HIDRASI KULIT
Air merupakan antara komponen yang terbesar bagi kulit. Apabila air kurang di dalam badan, kulit akan kelihatan kering dan kusam. Pastikan anda minum air sekurang-kurangnya 8 gelas sehari bagi memastikan hidrasi ulit pada paras optima supaya kulit lebih lembut berseri.

4. NUTRISI DALAMAN
Apa yang kita makan akan terserlah pada kulit kerana sebagai organ yang terbesar dalam badan, kekurangan nutrisi sudah tentu akan menampakkan impak pada kulit terutamanya pada kulit wajah.