Assalamualaikum Dr Syid.
Saya seorang wanita berusia 38 tahun. Saya bekerja sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengah di ibu kota. Badan saya bebas dari penyakit cuma yang saya khuatirkan ialah sejak kebelakangan ini saya merasa selalu kelesuan. Kadangkala mengantuk yang teramat sangat sewaktu berada di dalam kelas. Tertidur di hadapan anak murid pun pernah! Memang saya akui saya kurang senaman tetapi waktu tidur saya cukup dijaga. Saya bimbang ini mungkin petanda penyakit. Adakah ini juga proses penuaan? Bolehkah Doktor kongsikan punca-punca kelesuan yang biasa berlaku. Terima kasih.
1. ANEMIA (KURANG DARAH)
Anemia akibat kurang zat besi kerap berlaku pada wanita yang turun darah dengan banyaknya ketika haid. Sebab anemia yang lain termasuk,
- Mengandung.
- Pendarahan melalui sistem penghadaman (ulser, polyps, buasir) yang mana najis mungkin berwarna hitam atau jika menghadapi buasir, najis akan bercampur darah merah.
- Kurang nutrisi selain dari zat besi iaitu zat folik dan Vitamin B12.
Memang biasa bagi mereka yang bakal menghidapi demam selsema akan merasa letih dan lesu terlebih dahulu atau juga sehingga beberapa minggu selepas jangkitan virus tersebut. Kadangkala kelesuan ini merupakan simptom yang menunjukkan seseorang itu menghidapi penyakit seperti demam kelenjar, Lyme disease, AIDS dan sebagainya.
3. STRES DAN KEMURUNGAN
Pengaruh emosi juga boleh membuatkan seseorang itu kurang bertenaga. Jika kemurungan menyebabkan kelesuan teramat, ia perlu mendapatkan rawatan.
4. KANSER
Barah boleh menyebabkan kelesuan. Oleh itu, amat penting untuk mendapatkan pemeriksaan doktor jika mengalami kelesuan yang berpanjangan tanpa tahu apa puncanya. Pesakit kanser juga boleh mengalami penyusutan berat badan dengan mendadak dan kurang selesa makan.
5. METABOLISME
Kadar metabolisme yang terganggu akibat masalah tiroid juga boleh menyebabkan kelesuan. Pemeriksaan tahap thyroxine (hormon tiroid) amat penting di dalam kes sebegini.
6. KENCING MANIS
Diabetes boleh bermula dengan kelesuan dan kerap kencing. 2 petanda utama ini amat penting untuk mendaparkan pemeriksaan tahap gula dalam darah.
7. CHRONIC FATIGUE SYNDROME (CFS)
Ini merupakan keadaan kelesuan yang berpanjangan yang tidak dapat dikesan puncanya walaupun telah dijalankan pemeriksaan kesihatan yang lengkap.
Seperti yang dinyatakan di atas, kelesuan yang berpanjangan perlu mendapatkan pemeriksaan perubatan yang lengkap. Di samping itu puan disarankan menjalani gaya hidup sihat. Pastikan mendapat tidur yang mencukupi, bersenam dan menjaga pemakanan agar mendapat nutrisi yang seimbang. Jangan lupa untuk minum air sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Ini kerana kekurangan air juga mungkin menjadi punca keletihan.