Assalamualaikum Dr Syid.
Saya berusia 36 tahun dan mempunyai 3 orang anak. Sejak anak bongsu saya tidak lagi menyusu (selepas berumur setahun), saya dapati payudara saya semakin kendur, dan seolah-olah kosong. Mungkin ini bukan masalah kesihatan tapi saya rasa kurang selesa dengan bentuk payudara saya sekarang. Saya pohon nasihat doktor. Saya tidak ingin mencuba pembedahan kerana bimbang akan kesan sampingan. Terima kasih doktor.
2 sebab utama payudara menjadi kendur ialah:
PROSES INVOLUSI PAYUDARA
- Proses ini berlaku apabila kelenjar susu mengecut selepas bersalin/berhenti penyusuan kerana ia tidak diperlukan lagi. Apabila hamil dan menyusu, saiz payudara menjadi semakin besar dan berat. Ini akan membuatkan payudara tertarik dan melendut ke bawah akibat pengaruh graviti. Ketika ini amat penting mengenakan coli yang menyokong tambahan berat dan saiz payudara tersebut. Kelenjar susu turut mengecut apabila paras estrogen semakin menurun dan rendah terutamanya selepas berusia 35 tahun sehingga menopaus apabila payudara wanita tidak lagi dipengaruhi oleh hormon estrogen yang memberi bentuk dan saiz payudara.
- Menjadi kurus terutamanya jika berlaku secara mendadak akan membuatkan sel lemak di payudara hilang dan menyebabkan payudara kelihatan seperti kosong dan kendur.
Saya jangkakan payudara Puan kendur dan melendut ialah disebabkan oleh faktor gabungan, iaitu proses involusi berserta pengurangan berat badan selepas hamil. Sebab lain yang juga amat penting ialah penurunan hormon estrogen yang didapati amat ketara bermulanya usia 35 tahun sehinggalah usia putus haid. Kandungan kolagen yang semakin berkurangan dengan usia juga menyebabkan payudara hilang keanjalannya. Di samping itu, kemungkinan cara penjagaan payudara Puan turut mempengruhi bentuknya sekaarang.
Untuk mengatasi masalah puan, saya syorkan:
MELAKUKAN SENAMAN OTOT DADA
- Senaman yang disyorkan adalah seperti ‘push-ups‘ dan senaman merapatkan kedua belah telapak tangan daripada posisi menyayap.
- Saiz coli yang menyokong, menaikkan dan memberi keselesaan amatlah penting bagi mengekalkan kedudukan payudara agar tidak mudah melendut.
- Jika puan terlalu kurus, saya syorkan untuk memakan makanan yang bernutrisi tinggi bagi mencapai berat badan yang optimum. Ia akan mengisi semula bahagian payudara yang kosong itu dengan sel lemak yang akan memberi bentu kepada payudara.
- Meminum air 8 gelas sehari amat penting bagi mengelakkan kedutan kulit dan memberikan kelembapan yang sempurna kepada kulit payudara.