Kenapa Saya Nampak Tua?

SOALAN

Salam Dr Syid.
Saya seorang wanita berkarier berusia 39 tahun yang gembira dengan pekerjaan saya. Saya sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit kronik. Badan saya agak sedikit gempal tetapi tidaklah sampai ke kategori obes. Baru-baru ini saya menghadiri majlis alumni sekolah menengah dan saya berpeluang untuk berjumpa dengan ramai rakan lama. Sebenarnya doktor, saya rasa panik sedikit ketika perjumpaan itu kerana bila dibandingkan dengan kawan sebaya saya, saya nampak betul-betul tua. Kenapa doktor, saya nampak tua sangat kalau nak dibandingkan dengan mereka? Saya sudah memiliki produk kosmetik untuk penjagaan kulit muka saya. Boleh doktor berikan tip bagaimana untuk mengatasi masalah saya ni? Terima kasih kerana sudi membantu.


JAWAPAN
Salam kembali. Di zaman moden ini, mengekalkan kesihatan dan kecantikan merupakan dambaan bagi mereka yang prihatin. Mungkin saudari terlalu sibuk berkarier sehingga terlepas pandang penjagaan yang seperlunya. Umur akan terus berlalu, akan tetapi untuk nampak berumur adalah pilihan. Gaya hidup moden, pengaruh pencemaran dan tabiat yang kurang sihat banyak mempengaruhi aspek kesihatan dan terutamanya untuk mengekalkan keremajaan. Perkara pertama yang perlu saudari fahami ialah apakah punca sebenarnya kepada penuaan pramatang supaya dapat mengubahsuaikan gaya kehidupan saudari kini. Punca penuaan pramatang boleh dibahagikan secara umumnya kepada 2 jenis iaitu faktor dalaman (intrinsik) dan faktor luaran (ekstrinsik). Proses penuaan yang berlaku semula jadi Proses penuaan yang berlaku semulajadi ialah apa yang dinamakan sebagai penuaan intrinsik. Bila kita mencecah usia pertengahan 20-an, penuaan kulit mula terjadi. Penghasilan kolagen berkurangan sebanyak 1.5% setiap tahun, pembaharuan kulit juga tidak berlaku seperti di waktu remaja. Kedutan halus, penipisan dan kulit kering mula menampakkan diri. Seterusnya kulit menjadi kurang anjal dan kendur. Manakala penuaan ekstrinsik pula disebabkan oleh pengaruh luar yang jika dapat diubahsuaikan, kita mampu mengekang perubahan yang berlaku.


Berikut saya senaraikan 10 tip untuk mengekalkan keremajaan secara am:
  • Elakkan terdedah kepada sinar matahari yang terik.
  • Hindari aktiviti yang tidak sihat seperti merokok dan minuman keras.
  • Elakkan dari selalu berkerut atau melakukan mimik muka tertentu yang mengerutkan kulit muka.
  • Jangan tidur dengan muka di atas bantal yang boleh meninggalkan garisan kedutan akibat tekanan kulit muka ke atas bantal tersebut.
  • Amalkan senaman secara rutin agar dapat mengekalkan keanjalan otot, menghindari kekenduran dan menggalakkan aliran darah yang lancar.
  • Elakkan suhu yang ekstrem. Jangan biasakan mandi dengan air panas.
  • Tidur secukupnya sekitar 7-8 jam sehari.
  • Elak atau kawal tahap stres anda.
  • Kurangkan pengambilan gula atau kanji secara berlebihan.
  • Amalkan pemakanan yang kaya dengan antioksidan.