Menghilangkan Kantung Bawah Mata

SOALAN

Assalamualaikum Dr Syid.
Saya ingin bertanyakan kepada Tuan Doktor bagaimana untuk menghilangkan masalah kantung di bawah mata? Saya seorang suri rumah berusia lewat 20-an akan tetapi mempunyai maslaah kantung bawah mata yang begitu ketara. Kadangkala bahagian tersebut berwarna kehitaman. Saya sering ditegur oleh rakan yang bertanyakan adakah saya kurang tidur walhal saya selalu tidur dengan mencukupi. Harap Tuan Doktor boleh berkongsi punca masalah saya ini dan bagaimana untuk mengurangkannya dari sudut pemakanan kerana kantung bawah mata ini cukup membosankan saya dan membuatkan saya kelihatan lebih tua. Terima kasih.


JAWAPAN
Kulit mengelilingi mata selalu lebih nipis dan sensitif dari bahagian lain di mata. Oleh sebab itu, tanda awal penuaan akan bermula di sekitar mata, yang mana pengumpulan cecair atau lemak yang berlebihan akan kelihatan lebih ketara. Ligamen yang meregang di sekeliling mata akan menjadi semakin longgar, mengakitbatkan sokongan menjadi lemah terhadap permukaan kulit dan menyebabkan kantung di bawah mata.

Kantung bawah mata boleh juga dipengaruhi oleh punca berikut:
  • Sokongan lapisan kolagen di kulit bawah mata semakin lemah akibat penuaan menyebabkan kulit menjadi kurang anjal dan nipis.
  • Otot pipi semakin kendur dan melondeh.
  • Jangkitan sinus atau resdung yang menyebaban kulit sekitar mata sentiasa bengkak dan surut yang mana akan menyebabkan kulit itu menjadi lemah serta kendur.
  • Simptom pesakit tiroid atau buah pinggang.
  • Keletihan atau kurang tidur.
  • Ketidakseimbangan hormon termasuk ketika haid atau mengandung.
  • Alahan pada makanan dan habuk.
  • Kekurangan zat besi.
  • Ketagihan kafein.
  • Merokok dan kesan dan minuman keras.
  • Pengumpulan toksik di dalam badan. Amalkan diet yang tinggi serat (sayur dan buahan) dan minum air yang mencukupi bagi mengeluarkan toksik ini dari badan.
Jika di bahagian bawah mata menjadi kegelapan, ia boleh berpunca dari 3 sebab:
  • Otot dan ligamen diantara hidung dan mata menjadi lemah menyebabkan sokongan pada kulit di bawah mata tiada lagi. Bahagian kulit ini menjadi kendur dan melopong sehingga nampak seperti kehitaman.
  • Kulit bawah mata semakin nipis sehingga menampakkan jaringan salur darah yang kehitaman.
  • Pigmentasi yang berlaku di kulit bawah mata akibat dedahan sinar UV mentari.
Antara pemakanan yang puan boleh amalkan untuk mengatasi masalah kantung di bawah mata ialah”
  • Pilih makanan yang segar dan bukan yang diproses. Makan buahan berair seperti tembikai dan anggur. Air kelapa dan teh termasuk makanan yang tinggi zat potassium (buah pisang dan betik) dapat menghindari badan dari menyimpan air yang berkumpul di bawah mata. Sayuran hijau dan lobak juga boleh membantu.
  • Elakkan makanan yang menyebabkan pengumpulan air di dalam badan seperti gula, makanan berkanji, makanan bergoreng, minuman berkarboat, garam, kicap dan makanan masin termasuk yang mengandungi perasa monosodium glutamate.
  • Pengambilan makanan yang tinggi kandungan zat besi seperti brokoli, bayam dan kerang boleh mengatasi masalah kekurangan zat besi.