Masalah Rambut Beruban

SOALAN

Assalamualaikum Dr Syid.
Saya ingin bertanya apakah punca rambut seseorang itu beruban? Saya cukup khuatir kerana walaupun usia saya tidak smapia 30 tahun tetapi setiap hari saya perhatikan uban di rambut semakin banyak. Saya musykil kerana kawan-kawan saya semuanya masih berambut lebat dan hitam. Bagaimana untuk menghentikan proses uban ini? Harap Tuan Doktor boleh membantu saya. Terima kasih.


JAWAPAN
Uban sememangnya dikaitkan dengan proses penuaan. Ia biasanya bermula pada usia 30 tahun bagi lelaki dan 35 tahun bagi wanita. Untuk memahami kenapa rambut beruban, terlebih dahulu eloklah saya terangkan bagaimana rambut itu mendapat warnanya. Rambut mendapat warnanya dari sejenis sel yang dinamakan melanosit yang terdapat pada folikel rambut. Ia menghasilkan melanin yang menentukan warna rambut seseorang yang juga ditentukan oleh baka individu tersebut.

Terdapat beberapa tanggapan mengapa rambut beruban, antaranya:


  • Melanosit semakin kurang menghasilkan melanin apabila umur meningkat. Apabila ia berhenti menghasilkan melanin, maka rambut tiada lagi pigmen warna dan ia menjadi putih. Badan manusia tiada sumber induk yang menghasilkan melanin, maka dengan sebab itu uban tidak wujud secara serentak dan sekata.
  • Radikal bebas yang terhasil akibat proses metabolisme, stres dan pencemaran merosakkan sel melanosit yang membuatkannya tidak lagi menghasilkan melanin. Namun teori ini tidak begitu diterima kerana kajian terhadap uban menunjukkan melanosit pada folikel rambut masih wujud cumanya ia tidak lagi menghasilkan melanin.
  • Rambut beruban juga kadangkala dikaitkan dengan kekurangan nutrisi seperti mineral (kalsium, kuprum, dan zink) dan vitamin (biotin, asid folik dan inositol)
  • Tabiat merokok dikatakan juga mempercepatkan rambut beruban sebanyak 4 kali ganda. Begitu juga kesannya seandainya menggunakan dadah.

Kajian oleh Dr Gerard Weissmann dari Universiti Bradford, United Kingdom menemukan punca terkini rambut beruban. Ia disebabkan oleh satu proses berangkai yang menghasilkan hydrogen peroksida (sejenis radikal bebas) secara banyak di folikel rambut. Ini menyebabkan rambut dilunturkan dari dalam ke luar.

Laporan yang dikeluarkan di dalam jurnal FASEB (Federation of American Societies for Experimental Biology) menyatakan sejenis enzim yang dinamakan ‘catalase’ mampu menghalang proses ini. Apabila enzim ini semakin berkurangan, maka folikel rambut tidak lagi dilindungi terhadap kesan hydrogen peroksida lantas menjadi uban. Secara kesimpulannya proses rambut menjadi uban dikaitkan terus dengan pengumpulan hydrogen peroksida dalam folikel rambut dan pengurangan enzim ‘catalase’ yang memberi perlindungan rambut daripada dilunturkan oleh hydrogen peroksida tadi.Namun begitu masih banyak lagi kajian perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca enzim ‘catalase’ semakin berkurangan dana bagaimana untuk menghalangnya. Manakala kajian terhadap penggunaan phytoestrogen oleh wanita yang berusia lanjut juga mendapati bahawa kadar rambut beruban dpat dikurangkan dan dilanjutkan.

Saya ingin mengesyorkan agar Puan mengamalkan:

  • Gaya hidup sihat iaitu bersenam sekurangnya 30 minit 3 kali seminggu, tidur yang mencukupi (6 hingga 8 jam sehari), elakkan daripada stres dan jangan merokok
  • Amalkan pemakanan yang segar, seimbang dan bernutrisi. Elakkan terlalu banyak memakan makanan manis, berkanji dan yang mempunyai bahan perasa, pengawet dan pewarna. Elakkan minuman dalam tin, dan lebihkam sayuran yang berdaun hijau, lobak, dan minum susu sekurang-kurangnya 2 gelas sehari.
  • Jaga kesihatan rambut. Berus rambut dengan berus yang lembut sebanyak 100 kali sebelum tidur. Jaga kebersihan rambut sentiasa, dan elakkan menggunakan pewarna rambut. Cuci rambut dengan air sejuk dan jangna kerapkan penggunaan alat pengering rambut. Akhir sekali perlulah elakkan daripada terdedah kepada sinaran matahari yang terik.