Assalamualaikum Dr Syid.
Saya adalah seorang eksekutif pengurusan yang berusia 40-an. Pekerjaan saya amat mencabar yang menyebabkan saya terlalu sibuk. Saya hampir tiada masa untuk bersenam dan melakukan perkara yang berfaedah untuk kesihatan saya. Sebulan yang lepas, saya baru disahkan oleh doktor yang membuat pemeriksaan kesihatan ke atas saya bahawa paras kolestrol dalam darah saya amat tinggi dan ini boleh menyebabkan risiko saya mendapat penyakit jantung dan strok bertambah. Saya seorang yang kurang gemar mengamalkan ubat-ubatan. Saya ingin meminta pandangan dari Doktor bagaimana kaedah semulajadi yang saya boleh lakukan selain dari senaman untuk menurunkan dan mengawal kolestrol saya. Harap Doktor sudi membantu. Terima kasih.
1. TINGKATKAN PENGAMBILAN IKAN DI DALAM MENU HARIAN ANDA
Ikkan yang berlemak seperti tuna, kembung,salmon, sardin, keli dan sebagainya boleh membantu merendahkan trigliserida – sejenis lemak di dalam darah – di antara 20% hingga 50%. Manakala Omega 3 di dalam lemak ikan itu mampu meningkatkan kolestrol baik (HDL) yang berfungsi untuk membersihkan sumbatan salur darah yang boleh mengurangkan risiko sakit jantung. Perlu diingatkan kaedah memasak ikan juga penting, elakkan dari masak lemak atau yang kaya dengan santan dan juga menggoreng ikan tersebut. Ikan masak stim atau ikan bakar adalah yang paling baik.
2. KEKACANG BERFAEDAH UNTUK MENURUNKAN KOLESTROL
Kebanyakan kekacang seperti kacang hazel, badam dan pistachio membantu menurunkan paras trigliserida. Sama seperti lemak ikan, kacang mengandungi bahan nutrisi yang boleh bertukar mejadi asid lemak omega 3 seperti EPA dan DHA. Di samping itu, kacang juga kaya dengan serat. Pengambilan kacang sebanyak 50 gram sehari amat disyorkan bagi menurunkan risiko sakit jantung. Walaubagaimanapun, jangan makan terlalu banyak kacang sehari, hanya segenggam sehari sudah memadai.
3. PENGAMBILAN SERAT PERLU DI UTAMAKAN
Keperluan serat yang optima sehari bagi manusia adalah sebanyak 28 gram. Antara serat yang mudah didapati selain daripada sumber sayuran, buahan, oat yang merupakan bahan makanan kaya serat yang berkesan menurunkan kolestrol. Serat larut di dalam oat bersifat melekit akan bergumpal dengan kolestrol di usus untuk menghindarinya daripada diserap. Di samping itu, serat juga memberi rasa kenyang dan akan mengurangkan pengambilan makanan yang lain. Secawan oat mengandungi 4 gram serat disyorkan untuk diambil pada waktu pagi untuk memenuhi keperluan sekurangnya 15% daripada serat yang perlu dimakan setiap hari.
4. GUNA MINYAK ZAITUN UNTUK MASAKAN
Minyak zaitun kaya ddengan lemak tidak tepu yang mampu menurunkan kolestrol jahat (LDL – yang menyebabkan penyumbatan salur darah) tanpa menjejaskan kolestrol baik (HDL – yang membuka sumbatan salur darah dan mengankut lemak keluar dari badan), Minyak zaitun juga kaya dengan Vitamin E, sejenis antioksidan yang boleh mencegah penyumbatan salur darah akibat proses oksidasi. Amalkan 2 sudu besar minyak zaitun sehari untuk mendapatkan kesan yang diinginkan. Walaubagaimanapun, pengambilan terlalu banyak minyak zaitun juga tidak sihat kerana ia mengandungi kalori yang tinggi dan boleh menyebabkan peningkatan berat badan.
5. PERANAN STEROL DAN STANOL
Sterol dan stanol bahan additif di dalam sesetengah jenis makanan seperti argerin khas, jus buahan, keju dan sebagainya. Pengambilan bahan makanan yang diperkayakan dengan sterol dan stanol sebanyak 2x sehari mampu menurunkan LDL (kolestrol jahat) sebanyak 5% – 17%. Pengambilan sebanyak 2 gram sterol mahupun stenol sehari boleh membantu.
Walaupun makanan di atas boleh membantu untuk mengurangkan kolestrol, perhatian perlu dibero juga agar saudara boleh menjalani gaya hidup sihat. Yang paling utama untuk menurunkan kolestrol ialah dengan bersenam dan berpuasa.