SOALAN
Assalamualaikum Dr Syid.
Saya seorang surirumah berusia 48 tahun. Masalah saya ialah badan saya rasa semakin cepat letih. Saya tidak ada penyakit kronik, cuma Doktor yang memeriksa saya ada memberitahu tekanana darah saya paras borderline tetapi tidak perlu makan ubat. Tahap tenaga saya tidak seperti dulu, kadangkala untuk menyediakan makan malam pun saya tidak berdaya. Ada juga jiran-jiran saya yang mengalami masalah yang sama. Saya fikir usia saya ini terlalu muda untuk merasakan begini. Apakah punca wanita cepat letih? Boleh Doktor kongsikan?
1. MASALAH KELENJAR TIROID
Kelenjar tiroid di leher bertanggungjawab menghasilkan hormon yang mengatur selia pembakaran makanan kepada tenaga atau apa yang dikenali sebagai tahap metabolisme. Jika kelenjar itu kurang menghasilkan hormonnya, maka pembakaran tenaga badan adalah pada tahap yang rendah. Ini akan membuatkan wanita menjadi letih kerana enjinnya perlahan. Masalah ini mudah dikenalpasti dengan melakukan ujian darah bagi mengetahui paras hormon tiroid (T4 dan T3) di dalam darah.
2. PENYAKIT JANTUNG
Jantung yang lemah tidak mampu mengepam darah dengan lancar. Keletihan merupakan tanda utama bagi wanita yang mengalami masalah jantung. Saya syorkan puan mengawasi tekanan darah dan membuat pemmeriksaan jantung (ECG dan X-ray dada) untuk lebih mengetahui tentang penyakit ini.

3. KEKURANGAN VITAMIN D
Sejak kebelakangan ini, kajian mendapati ramai golongan wanita terdedah kepada masalah kekurangan Vitamin D yang dikaitkan kepada punca sindrom keletihan kronik. Ini berlaku akibat kurang terdedah kepada cahaya matahari (awal pagi), memiliki kulit yang gelap, menggunakan suncreen berlebihan, alahan pada susu termasuk lebihan berat badan boleh mengurangkan penyerapan Vitamin D ke dalam badan. Ujian saringan darah boleh menentukan sama ada anda memiliki Vitamin D yang mencukupi.
4. KURANG ZAT BESI (ANEMIA)
Kekurangan darah akibat kurang zat besi merupakan antara punca utama wanita berasa kelesuan. Ini mungkin terjadi akibat haid yang berpanjangan, ulser perut, buasir, masalah parasit dan juga kurang pengambilan zat besi di dalam pemakanan harian. Ujian darah dapat menentukan sama ada anda kurang darah atau sebaliknya. Jika diketahui puncanya, pengambilan zat besi, Vitamin B12 dan zat folik dapat membantu.
5. KESUKARAN BERNAFAS KETIKA TIDUR (SLEEP APNEA)
Berdengkur ketika tidur (terutama bagi yang lebih berat badan dan berusia 40-an ke atas) boleh menyebabkan nafas anda tersekat, otak terpaksa memainkan peranan untuk mengejutkan sistem pernafasan anda yang membuatkan otak tidak dapat berehat dengan cukup. Ini menyebabkan keesokan harinya anda berasa letih. Mendapatkan berat badan yang ideal dapat membantu mengatasi masalah ini.
6. KURANG TIDUR
Sememangnya tidur yang mencukupi (7 hingga 8 jam sehari) amat penting bagi mengelakkan anda mengantuk di siang hari. Cuba dapatkan rehat yang secukupnya supaya badan anda lebih bertenaga.
7. STRES DAN KEMURUNGAN
Wanita yang mengalami kemurungan didapati merasai letih 4x ganda dari biasa. Stres juga boleh mengakibatkan kurang tidur. Kedua perkara ini berkait dan boleh meningkatkan lagi tahap kemurungan dan menjejaskan tahap kecergasan badan. Ubat penenang pula kadangkala boleh mentebabkan keadaan lali segingga anda tidak 100% segar. Kawal stres dan cuba elakkan kemurungan dengan melibatkan diri dengan aktiviti yang membuatkan anda sentiasa terhibur yang juga boleh membantu.
Di samping perkara di atas, terdapat 3 perkara yang berkaitan dengan puan yang saya fikir mungkin boleh menyumbangkan kepada keletihan:
- Tekanan darah tinggi walaupun tidak ketara tapi lama-kelamaan boleh memberi masalah.
- Berat badan yang berlebihan juga boleh menyumbangkan kepada keletihan.
- Umur puan yang menghampiri menopaus juga lebih mudah merasa letih terutamanya akibat kurang tidur yang dikaitkan dengan penurunan hormon estrogen.